APEL.C

Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu bagi Tujuan Penganugerahan Kredit (APEL.C) adalah proses penilaian pembelajaran (tidak formal dan bukan formal) seseorang individu berdasarkan pengalaman terkumpul (pengetahuan dan kemahiran) untuk mendapat pindah kredit bagi kursus dalam program yang sedang diikuti. Penekanan harus diberi kepada konsep utama APEL.C iaitu penilaian ke atas kebolehan individu tersebut untuk menggunakan pembelajaran yang dicapai melalui pengalamannya dalam mencapai hasil pembelajaran sesuatu kursus.

FUNGSI APEL.C:

1. Mengiktiraf pembelajaran yang diperoleh daripada pengalaman kerja dan kursus-kursus pendek yang diikuti;

2. Mengurangkan pembelajaran berulang kepada pelajar;

3. Menggalakkan kemasukan calon dewasa ke program pendidikan tinggi dan;

4. Mengurangkan kos dan masa untuk menamatkan pengajian.

Proses Pelaksanaan
i) Pelajar boleh memohon APEL(C) pada bila-bila masa semasa pengajian mereka. Walau bagaimanapun, pelajar boleh dinasihatkan untuk mengemukakan permohonan mereka untuk APEL(C) semasa tahun pertama pengajian.
ii) Pelajar tidak dibenarkan memohon APEL(C) bagi kursus yang telah didaftarkan dan dijalani oleh pelajar dalam tempoh pengajian. Ini termasuk mengulang kursus.
iii) Kursus yang telah dianugerahkan kredit melalui APEL(C) akan dipaparkan dalam transkrip pelajar sebagai ‘CT(APEL)’. Ia tidak akan diambil kira dalam pengiraan GPA atau PNGK. Walau bagaimanapun, kredit akan dikira dalam jumlah kredit yang diperlukan untuk pengijazahan.

Anugerah Kredit
1) Pemberian kredit melalui APEL(C) adalah dalam bentuk pemindahan kredit di mana ia tidak melibatkan pemindahan gred. Walau bagaimanapun, kredit yang diberikan untuk kursus akan dikira dalam jumlah keperluan kredit untuk pengijazahan.
2) Peratusan maksimum pemindahan kredit melalui APEL(C) ialah 30% daripada kredit minimum tamat pengajian bagi program pengajian tertentu. Peratusan ini adalah tambahan kepada peruntukan pemindahan kredit berdasarkan dasar pemindahan kredit formal sedia ada.
3) Kredit yang diberikan melalui APEL(C) boleh dipindahkan secara automatik ke program lain dalam institusi yang sama jika kursus yang kreditnya telah diberikan melalui APEL(C) mempunyai hasil pembelajaran yang sama.